Skip to main content

Bicara Kraf Antarabangsa Sempena Malaysia International Craft Fair (MICF) 2026

KUALA LUMPUR, 1 Oktober 2026 – Di tengah-tengah kehangatan Malaysia International Craft Fair (MICF) 2026 yang berlangsung di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, suasana di Panggung Sari agak berbeza. Lebih 375 jiwa — daripada penggiat industri, ahli akademik, sehinggalah pelajar IPT — berkumpul bagi menyaksikan pertemuan budaya dan pertukaran ilmu menerusi Bicara Kraf Antarabangsa. 

Program anjuran Institut Kraf Negara (IKN) dan Kraftangan Malaysia ini membawa satu mesej menerusi temanya, “Timeless Hand, Modern Times: Keeping Ancient Craft Alive”. Majlis perasmian turut disempurnakan dengan kehadiran Yang Berusaha Encik Abdul Halim bin Ali, Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, bersama barisan pengurusan tertinggi. 

Meneroka Tujuh Jiwa Kraf Dunia 

Istimewanya pentas Bicara Kraf kali ini, ia membawakan kisah dan kepakaran unik dari tujuh buah negara. Setiap negara hadir mempamerkan seni kebanggaan masing-masing: 

  • Malaysia: Memukau dewan dengan identiti dan kehalusan seni seramik tempatan. 
  • New Zealand: Membawa warisan ukiran Māori yang sarat dengan cerita kebudayaan. 
  • Uzbekistan: Menampilkan kepakaran pertukangan barang kemas yang mempesonakan. 
  • Sri Lanka: Memperkenalkan keindahan seni renda Beeralu yang teliti. 
  • Indonesia: Berkongsi teknik dan ketelitian seni pertukangan kulit. 
  • China: Mempamerkan keagungan dan kehalusan seni ukiran jed. 
  • India: Memukau audiens menerusi teknik tatahan dawai Tarkashi yang penuh seni. 

Menyemarakkan Jaringan dan Inspirasi Baharu 

Sesi perkongsian ini bukan sekadar pameran bakat, tetapi satu jambatan yang menghubungkan rasa cinta terhadap warisan budaya. Para peserta diberi ruang untuk menyelami selok-belok teknik, nilai tradisi, dan latar belakang yang membentuk identiti seni kraf di pentas dunia. 

Melalui dialog terbuka ini, pelbagai idea baharu dapat diterokai bagi memastikan seni kraf tradisional terus segar dan relevan dalam landskap moden — tanpa sedikit pun mengorbankan nilai keasliannya. 

Penganjuran seperti ini menjadi bukti usaha berterusan Kraftangan Malaysia dalam meletakkan kraf tempatan di persada antarabangsa. Diharapkan percikan semangat dan jaringan mesra yang terjalin di Panggung Sari ini dapat menyuntik inspirasi baharu, sekali gus memastikan seni warisan kraf terus hidup, dihormati, dan mekar merentas zaman 

Bicara Kraf Antarabangsa MICF 2026 10
Bicara Kraf Antarabangsa MICF 2026 11
Bicara Kraf Antarabangsa MICF 2026 8
Bicara Kraf Antarabangsa MICF 2026 12
Bicara Kraf Antarabangsa MICF 2026 1
Bicara Kraf Antarabangsa MICF 2026 2
Bicara Kraf Antarabangsa MICF 2026 3
Bicara Kraf Antarabangsa MICF 2026 5
Bicara Kraf Antarabangsa MICF 2026 6
Bicara Kraf Antarabangsa MICF 2026 7
Bicara Kraf Antarabangsa MICF 2026 9
Bicara Kraf Antarabangsa MICF 2026 4

Penyertaan Institut Kraf Negara (IKN) Dalam Program ASEAN–China Heritage Dimension of National Arts (ACH-DNA 2.0) 2026

KUALA LUMPUR, Ogos 2026 – Usaha memelihara dan memartabatkan seni warisan terus mendapat sentuhan baharu apabila Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dengan kerjasama Persatuan Simfoni Kreatif (SCS) berjaya menganjurkan program ASEAN–China Heritage Dimension of National Arts (ACH-DNA 2.0) pada 9 hingga 14 Ogos 2026 di Hotel Perdana, Kuala Lumpur. 

Majlis perasmian yang berlangsung pada 10 Ogos 2026 telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Mohd Yusri bin Mohd Yusoff, Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) MOTAC, serta turut dihadiri oleh Ketua Pusat Kecemerlangan Kraf dari Institut Kraf Negara (IKN). Dalam ucapan beliau, YBhg. Dato’ Mohd Yusri menyentuh ingatan mesra tentang kepentingan mengimbangi inovasi moden dengan usaha mengekalkan keaslian serta identiti budaya. Pendekatan ini amat penting agar nilai warisan kita tidak hilang ditelan zaman, malah kekal hidup untuk diwarisi oleh generasi akan datang. 

Sinergi Warisan, Inovasi dan Teknologi 

Program ACH-DNA 2.0 mengfokuskan kerjasama unik antara kepakaran pemprosesan buluh dari China dan keindahan warisan tekstil ASEAN. Melalui penerokaan bahan lestari dan adaptasi rekaan kontemporari, program ini membakar semangat baharu untuk membawa produk berasaskan warisan tempatan ke pentas fesyen dan pasaran global. Sesi pemadanan perniagaan yang dianjurkan turut membuka ruang jaringan mesra rentas sempadan bagi merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi kreatif serantau. 

Mengangkat tema “Reimagining Heritage Through Innovation”, program ini turut memberi pendedahan penting dalam penggunaan teknologi moden. Pada 11 Ogos 2026, wakil IKN menyertai bengkel khas yang membincangkan peranan Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence – AI) dan penyelesaian digital dalam pemeliharaan seni warisan. Bengkel ini menjadi titik pertemuan mesra buat pelbagai pihak — daripada pembuat dasar, penyelidik, pengamal budaya, pereka, ahli teknologi, sehinggalah usahawan kreatif dari 11 negara jiran (Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Lao PDR, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Timor-Leste, dan Vietnam). 

Penglibatan Skuad IKN 

Bagi memanfaatkan peluang pembelajaran dan jaringan antarabangsa ini, IKN telah menghantar seramai 14 orang wakil yang terdiri daripada pegawai, anggota kerja, serta para pelajar: 

  1. Jurusan Seni Kraf Tenunan, IKN (10 orang): Diterajui oleh Ketua Jurusan Seni Kraf Tenunan, seorang guru pengiring, dan lapan orang pelajar Semester 1. 
  1. Pusat Kecemerlangan Kraf, IKN (4 orang): Dianggotai oleh Ketua Pusat Kecemerlangan Kraf bersama tiga orang anggota kerja pusat tersebut. 

Penyertaan ini menyerlahkan komitmen penuh IKN dalam meluaskan perkongsian ilmu serta meneroka potensi teknologi digital dan AI dalam seni kraf tradisional. Semoga pengalaman berharga yang diperoleh dapat menyuntik inspirasi baharu, meningkatkan daya saing produk kraf tempatan, dan memastikan keindahan warisan seni negara terus mekar seiring dengan arus pemodenan dunia. 

 
ASEAN - CHINA 2.0 1
ASEAN - CHINA 2.0 5
ASEAN - CHINA 2.0 6
ASEAN - CHINA 2.0 4
ASEAN - CHINA 2.0 2
ASEAN - CHINA 2.0 3

Penyertaan Institut Kraf Negara (IKN) Dalam Program Bicara “Refreshing The Future” 2026

KUALA LUMPUR, 30 Julai 2026 – Wakil Institut Kraf Negara (IKN) telah menyertai program bicara “Refreshing the Future: Conversations with the Next Gen Fashion Consumers & Producers” yang berlangsung di Sunway Square Mall. 

Penyertaan ini merupakan kesinambungan daripada penglibatan Pusat Kecemerlangan Kraf (PKK), IKN dalam program “Refashioning the Future: Second Industry Roundtable on the Theme of Culture and Heritage as a Competitive Advantage for Sustainable Development” yang diadakan secara dalam talian pada 16 April 2026. 

Program ini menampilkan dua orang panel jemputan iaitu Puan Barbara Ebbli, Pengasas dan Pengarah Kreatif Malaika dan Dr. Kenny Loh, Pengasas Loh Couture. Sesi perkongsian tersebut mengetengahkan konsep slow fashion yang mengutamakan kualiti, ketahanan dan kelestarian dalam penghasilan produk. Turut dibincangkan ialah kepentingan penceritaan (storytelling) dan penjenamaan (branding) dalam membentuk identiti serta meningkatkan nilai sesuatu produk. 

Melalui program ini, warga IKN berpeluang mendalami perkembangan industri fesyen dan kraf, khususnya dalam mengimbangi keperluan pasaran dengan usaha memelihara keaslian budaya dan warisan tempatan. 

Seramai 44 orang warga IKN yang terdiri daripada Ketua PKK, Ketua Jurusan Seni Kraf Tenunan,  Ketua Jurusan Seni Kraf Batik, tenaga pengajar, anggota kerja dan pelajar Diploma 05 dan Diploma 03, IKN telah menyertai program ini. 

IKN terus memperkukuh usaha memperluas pengetahuan, membina jaringan industri dan meneroka pendekatan baharu bagi memastikan kraf tempatan terus relevan, dihargai dan berdaya saing seiring dengan perkembangan industri kreatif masa kini.

BICARA REFRESHING THE FUTURE 2
BICARA REFRESHING THE FUTURE 8
BICARA REFRESHING THE FUTURE 5
BICARA REFRESHING THE FUTURE 4
BICARA REFRESHING THE FUTURE 1
BICARA REFRESHING THE FUTURE 7
BICARA REFRESHING THE FUTURE 3
BICARA REFRESHING THE FUTURE 6
BICARA REFRESHING THE FUTURE 9

Kunjungan wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKMWPKL) 2026

20 Julai 2026 – Institut Kraf Negara (IKN) telah menerima kunjungan wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKMWPKL) bagi membincangkan cadangan pelaksanaan Program Creative Craft Studio (CCS) di IKN. 

Lawatan ini diadakan untuk memberi penerangan awal mengenai pakej dan modul CCS yang ditawarkan oleh Pusat Kecemerlangan Kraf. Melalui sesi perbincangan tersebut, pihak JKMWPKL berpeluang mendapatkan maklumat berkaitan kandungan kursus, tempoh pelaksanaan serta pendekatan latihan yang sesuai dengan keperluan peserta. 

Hasil perbincangan, JKMWPKL telah menyatakan minat untuk melaksanakan Modul Kemahiran Logam selama dua (2) hari dengan penyertaan 10 orang pelatih. Program ini dicadangkan untuk dilaksanakan pada Ogos 2026. 

Diharapkan Program CCS ini dapat memberi pendedahan dan kemahiran asas dalam bidang kraf kepada para pelatih, sekali gus memupuk minat mereka terhadap industri kraf tempatan. Institut Kraf Negara turut menghargai kerjasama dan komitmen yang ditunjukkan oleh JKMWPKL dalam usaha memperkasa pendidikan kemahiran serta memelihara warisan kraf negara. 

JKM5
JKM1
JKM3
JKM6
JKM4
JKM2

Lawatan Institut Kraf Negara (IKN) bersempena Pameran Seni Kraf di Sasana International School 2026

Selangor, 24 Jun 2026 - Wakil Institut Kraf Negara (IKN) telah mengadakan lawatan bersempena Pameran Seni Kraf di Sasana International School. Pameran tersebut dianjurkan sebagai tanda penghargaan kepada 108 pelajar sekolah menengah yang telah menyertai Program CCS IKN Tahun 2026. 

Pameran Seni Kraf ini mempamerkan pelbagai hasil karya tangan pelajar, antaranya kain batik canting dan batik terap, set kutleri, gelang bertatah permata, mangkuk seramik, dulang hidangan, bangku mini serta bakul buah rotan. Setiap hasil karya mencerminkan kreativiti, kemahiran dan penguasaan pelajar dalam pelbagai bidang seni kraf yang dipelajari sepanjang program berlangsung. Jemputan pameran ini juga adalah sebahagian daripada Pembelajaran sekolah Sasana Bernama “Crafts Week” .

Selain mengetengahkan bakat dan kemahiran pelajar, pameran ini turut menjadi platform bagi mempromosikan seni kraf tempatan kepada masyarakat serta memperkukuh hubungan kerjasama antara Institut Kraf Negara dan institusi pendidikan. Inisiatif sebegini diharap dapat memupuk minat generasi muda terhadap warisan seni kraf negara serta menyumbang kepada usaha melestarikan industri kraf Malaysia. 

LAWATAN SASANA 6
LAWATAN SASANA5
LAWATAN SASANA3
LAWATAN SASANA 4
LAWATAN SASANA1
LAWATAN SASANA2

Program Creative Craft Studio (CCS), Institut Kraf Negara (IKN) Bersama Sasana International School (SIS) 2026

PROGRAM CREATIVE CRAFT STUDIO (CCS), INSTITUT KRAF NEGARA (IKN) BERSAMA SASANA INTERNATIONAL SCHOOL (SIS) 

Pada 15, 16, 18 Jun dan 19 Jun 2026, kami berbesar hati menerima penyertaan Program CCS, IKN dari Sasana International School. Ini merupakan penyertaan sekolah kali kelima sejak program kerjasama ini dimulakan pada tahun 2022.  

Pada kali ini, para pelajar mengikuti modul kemahiran kraf 4 hari menerusi 4 jurusan seni kraf. Seramai 108 orang pelajar sekolah menengah lingkungan umur di antara 15 hingga 18 tahun yang menyertainya.  Para pelajar dipecahkan berdasarkan tahap kelayakan umur. Pecahan kumpulan peserta adalah seperti berikut : 

Jurusan Seni Kraf Batik   

  • 18 orang pelajar : Produk kain 1 meter gabungan teknik batik terap dan batik canting.

Jurusan Seni Kraf Logam (Advance Level)  

  • 15 orang pelajar : Produk gelang tangan dengan permata teknik membentuk, memotong, menebuk tembus, menggergaji, dome timbul, mencantum, membuat ikatan batu permata (bungkus) dan kemasan.barang kemas. 

Jurusan Seni Kraf Logam (Basic Level)  

  • 15 orang pelajar : Produk kutleri teknik pembentukan logam. 

Jurusan Seni Kraf Seramik (Advance Level) 

  • 15 orang pelajar : Produk dulang hidangan teknik kepingan. 

Jurusan Seni Kraf Seramik (Basic Level) 

  • 15 orang pelajar : Produk mangkuk teknik lingkaran. 

Jurusan Seni Kraf Rotan (Advance Level)  

  • 15 orang pelajar : Produk bangku mini teknik jalinan kerangka. 

Jurusan Seni Kraf Rotan (Basic Level)  

  • 15 orang pelajar : Produk bakul buah teknik tiang dan anyam. 

Semoga Program CCS ini memberikan pengalaman yang bermakna dan meningkatkan minat pelajar terhadap bidang seni kraf. Pihak IKN melahirkan penghargaan kepada SIS dalam menyokong dan melestarikan kraf ke arah pendidikan era baharu. Diharapkan jalinan kerjasama antara IKN dan SIS akan terus berkembang dalam memperkukuh pendidikan seni kraf. 

Mari Sertai Program Creative Craft Studio (CCS) IKN! 

Hubungi kami untuk maklumat lanjut dan peluang menyertai program CCS kami. 

CCS SASANA-4
CCS SASANA-3
CCS SASANA2
CCS SASANA-1
CCS SASANA-5
CCS SASANA-6

Program Studio Kraf Kreatif (SKK) @ Creative Craft Studio (CCS) Bersama Encik Kamarudin bin Anuar dari Sarawak 2026

Selangor | 8 Jun –12 Jun 2026 

Pusat Kecemerlangan Kraf kali ini menerima penyertaan Encik Kamarudin bin Anuar dari Sarawak.  Beliau adalah seorang pereka yang mempunyai butik fesyen. Hasrat beliau adalah untuk menimba ilmu kemahiran batik, sebagai nilai tambah kepada perniagaan beliau. Encik Kamaruddin juga bercadang untuk menyertai pertandingan Fesyen selesai program ini. 

Beliau telah menyertai program tersuai 5 hari.  Program ini mengandungi dua modul, Batik Canting dan Batik Blok. Kami suaikan program ini setelah berbincang bagi mendapatkan gambaran keseluruhan keperluan beliau. Kami rangka modul yang  merangkumi, proses melakar, memadan warna dan mencipta corak batik di permukaan fabrik. 

Menurut Encik Kamarudin, pengalaman ini bukan sahaja menambah kemahiran, malah membuka ruang perspektif yang baharu. Beliau turut bereksperimen dengan idea dan reka corak sendiri, sekaligus menghasilkan karya yang mencerminkan identiti serta sentuhan kreatifnya. 

Kami ucapkan Tahniah atas kejayaan beliau menghasilkan sehelai kain batik canting dan sehelai kain batik terap dua lapis. 

Mari sertai Program Creative Craft Studio (CCS) IKN! 

Hubungi kami untuk maklumat lanjut dan peluang menyertai program CCS kami. 

MELCC6
MEL CCS-7
MELCCS5
MELCCS4
MEL CCS2
MELCCS3
MEL CCS1

Program Studio Kraf Kreatif (SKK) @ Creative Craft Studio (CCS) Bersama Universiti Kanazawa Dan Universiti Komatsu, Jepun 2025

24 Februari 2025- Pusat Kecemerlangan Kraf gembira menyambut kehadiran 6 orang pelajar antarabangsa dari negara Jepun untuk menyertai Program Studio Kraf Kreatif di Institut Kraf Negara. Pelajar-pelajar tersebut merupakan pelajar daripada Universiti Kanazawa dan Universiti Komatsu, Jepun. Mereka ini dibawah Program Pertukaran Pelajar Bersama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).  Antara Pakej CCS yang menjadi pilihan para pelajar tersebut adalah Pakej Kraf Batik, iaitu modul 4 jam-Batik Ikat Celup. Tahniah diucapkan kepada peserta yang telah berjaya menghasilkan produk kraf batik dalam jangka masa yang telah diberikan oleh tenaga pengajar Institut Kraf Negara.

Hubungi kami untuk program Creative Craft Studio   

ccs kanazawa jepun-16
ccs kanazawa jepun-14
ccs kanazawa jepun-15
ccs kanazawa jepun-5
ccs kanazawa jepun-1
ccs kanazawa jepun-2
ccs kanazawa jepun-4
ccs kanawaza jepun-3

Kunjungan Lawatan Panatia Pendidikan Seni Visual SMK Seri Hartamas Kuala Lumpur 2025

14 Februari 2025- Kami menerima kunjungan dari guru Panatia Pendidikan Seni SMK Seri Hartamas. Sesi perbincangan awal berkaitan hasrat SMK Seri Hartamas untuk menjalankan program CCS dan melihat pakej-pakej yang  ditawarkan oleh Pusat Kecemerlangan Kraf. Pihak Panatia Pendidikan Seni Visual SMK Seri Hartamas akan menganjurkan Program Kraftangan pada pertengahan bulan Jun 2025 yang akan melibatkan sekolah-sekolah di sekitarnya. Ini adalah merupakan penganjuran kali pertama pihak Panatia Pendidikan Seni untuk membuat kolabrasi bersama 10 buah sekolah dan memilih IKN untuk menjalankan program CCS. 

Semoga program yang akan dijalankan ini dapat memberi ilmu kraf kepada pelajar dan menjadi salah satu aktiviti tahunan Pihak Sekolah SMK Seri Hartamas. Pihak IKN juga menghargai usaha dalam menyokong dan melestarikan kraf ke arah pendidikan era baharu. 

Hubungi kami untuk program Creative Craft Studio  

SMK SERI HARTAMAS-1
SMK SERI HARTAMAS